Sebaliknya, usaha itu yang boleh disaksikan secara rasmi menerusi penganjuran Himpunan Penyatuan Ummah pada 13 dan 14 September ini, bertujuan untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu selaku penduduk majoriti.

Ahli Parlimen Kuala Nerus daripada Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berpandangan perpaduan dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia akan memperkukuhkan suasana politik, ekonomi dan sosial negara.

Baginya, hal tersebut perlu dilihat secara positif dan yakin limpahan perpaduan itu akan turut dirasai oleh kaum lain.

“Rakyat tentu gembira apabila perpaduan antara majoriti rakyat negara terbentuk dan terbina. Pertembungan antara satu bangsa adalah bencana bagi negara,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

UMNO dan Pas sebelum ini meramalkan lebih 10,000 orang akan hadir ke perhimpunan tersebut terdiri daripada pemimpin parti, ahli dan penyokong kedua-dua parti serta parti gabungan masing-masing.

Program itu yang berlangsung selama dua hari dengan kemuncaknya pada 14 September apabila kedua-dua parti akan menandatangani piagam kerjasama UMNO dan Pas oleh kedua-dua Presiden parti berkenaan yang dilihat bakal mengukuhkan blok pembangkang dengan hasrat menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam. –