Dua orang pegawai Jabatan Imigresen cedera selepas diserang oleh warga asing dari China di bilik menunggu pelawat yang dikenakan Notis Penolakan Masuk atau Not To Land Notice (NTL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 31 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kejadian berlaku apabila Pegawai Imigresen bertugas, PI Muhammad Firdaus dan PI Mohd. Sahlan melihat dua lelaki warga China berada dalam kawasan ruangan menunggu wanita bersama seorang pelawat wanita yang juga warga China.

“Secara tiba-tiba salah seorang daripada mereka telah menolak dan menumbuk dada PI Muhammad Firdaus. Seorang lagi warga China tersebut pula turut menumbuk dan bergelut dengan PI Mohd. Sahlan.

“Pergelutan berjaya dihentikan apabila beberapa Pegawai Imigresen yang melihat kejadian itu memberikan bantuan. Kedua-dua Pegawai Imigresen yang diserang mengalami kecedaraan ringan seperti lebam dan luka kecil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, ketiga-tiga warga China tersebut pada asalnya telah dikenakan NTL mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tujuan kemasukan yang meragukan serta tidak memenuhi syarat-syarat kemasukan.

“Mereka ditempatkan di bilik menunggu iaitu ruangan menunggu untuk penerbangan pulang ke negara asal. Berikutan kejadian tersebut satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai terlibat bagi menjaga kepentingan jabatan.

“Tiga orang pelawat warga China tersebut pula telah dihantar pulang dan mereka akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here