Pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirogol Exco Perak Paul Yong sedia untuk berdepan perbicaraan apabila ia bermula nanti.

Perkara itu dinyatakan wakil Kedutaan Indonesia di Malaysia, ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Shabda Tian berkata, wanita berusia 23 tahun itu kini sedang menjalani pemulihan selepas dakwaan rogol oleh Yong, yang merupakan bekas majikannnya.

“Keadaan mangsa semakin membaik dari segi mental dan moralnya, dia juga siap dan kuat untuk hadapi proses sidang (perbicaraan) seterusnya,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Katanya lagi, pihak kedutaan berpuas hati dengan penyiasatan kes itu dan berterima kasih terhadap polis atas kerjasama mereka.

“Kita ikuti kes ini sejak awal dan sudah tentu harapan kita di pihak Indonesia sangat tinggi, namun kita serah segalanya kepada Malaysia untuk mengendalikannya,” katanya lagi sambil mengakui kes itu mendapat liputan meluas di Indonesia.

Terdahulu, Yong mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di Meru Desa Park pada 7 Julai, antara pukul 8.15 malam hingga 9.15 malam.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Semalam, Speaker DUN Perak Ngeh Koo Ham membuat laporan polis mendakwa individu yang membawa wanita itu untuk membuat laporan polis telah menerima RM100,000.

Ngeh juga mendakwa individu itu diugut dengan pistol untuk tidak membocorkan perkara itu.

Peguam Yong, Ramkarpal Singh berkata pertuduhan rogol itu tidak berasas dan minta ia digugurkan.

“Ada kemungkinan wujud konspirasi untuk memfitnah Yong yang tidak boleh diabaikan,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar membantah perkara itu dan berkata laporan itu di luar pengetahuan peguam negara dan arahan telah diberi untuk meneruskan perbicaraan.

Ketika ditemui selepas prosiding, Ramkarpal berkata satu representasi telah dibuat kepada peguam negara untuk menggugurkan kes itu.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here