Arab Saudi mengumumkan seramai 10,000 petugas dikerah bagi membantu menguruskan jemaah musim haji 1440 Hijrah.

Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Abdul Aziz As-Sudais berkata, jumlah tersebut sebagai tambahan kepada petugas sedia ada.

Sehubungan itu, Sheikh Abdul Rahman yang juga Presiden Agung Hal Ehwal Dua Kota Suci berharap petugas yang terlibat dalam aktiviti di sekitar masjid suci di Madinah dan Makkah memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji tahun ini.

Beliau berkata, langkah tersebut sangat penting ke arah menentukan kejayaan rancangan kerajaan menyantuni tetamu ALLAH tahun ini dengan sebaik mungkin.

“Sehubungan itu, tahap prestasi dan perkhidmatan perlu ditingkatkan bagi mencapai Wawasan 2030,” katanya.

Wawasan 2030 merupakan rancangan persediaan Arab Saudi untuk tidak lagi bergantung kepada petroleum sebagai sumber pendapatan dan penggerak ekonomi negara di masa depan.

Sementara itu, Sheikh Abdul Rahman juga memaklumkan kerajaan Arab Saudi telah menyediakan terjemahan khutbah Arafah dalam 10 bahasa bagi membolehkan jemaah haji serta umat Islam seluruh dunia mendengar secara langsung terjemahan khutbah itu.

Beliau berkata terdapat bilik keselamatan yang dikawal rapi lengkap dengan kemudahan bagi penterjemah, mengambil kira spesifikasi kepentingan dan pengaruh di mana terjemahan dilakukan serentak bermula daripada awal khutbah.

Khutbah Arafah akan diadakan di Masjid Nemra di Dataran Arafah, meliputi kawasan seluas 110,000 meter persegi.

Khutbah itu akan disiarkan segera sebelum jemaah menunaikan solat Zuhur dan Asar dalam satu perhimpunan ringkas bagi mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here