Home / Hiburan / Penerbit filem maut tercampak selepas dilanggar van

Penerbit filem maut tercampak selepas dilanggar van

Seorang penerbit filem maut selepas tercampak sejauh 23 meter akibat dilanggar van jenis Ford Spectron di Jalan Kuching, berdekatan Bulatan Segambut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 4.38 pagi tadi, mangsa, Mokharul Shamsul Mokhtar berusia 46 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian susulan kecederaan parah di kepala.

Mokharul Shamsul yang lebih dikenali dengan nama Asey adalah penerbit filem dari syarikat produksi DA Motion Media pernah menerbitkan filem Jodoh Syaitan dan M4M4.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata ketika kejadian, mangsa memberhentikan Toyota Land Cruiser dipandunya di lorong kiri jalan sebelum keluar untuk menukar tayar belakang bahagian kanan.

Katanya, mangsa memasang lampu isyarat kecemasan, namun tidak meletakkan sebarang kon atau papan tanda amaran di belakang kenderaannya.

“Pemandu van itu, Siow Ket Chin, 47, yang memandu di lorong sama hanya melihat Toyota itu pada jarak dekat dan sempat mengelak kenderaan itu, namun terlanggar mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak sejauh 23 meter, manakala Ket Chin dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkefly berkata tiada laluan kecemasan di lokasi kejadian.

“Ada tiga lorong jalan sehala, manakala jalan terbabit berada dalam keadaan baik serta kering.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.