Pelawak Ebby Yus mengakui berasa terharu berhubung hasrat seorang wanita yang ingin menderma buah pinggang buat dirinya.

Wanita berkenaan menghantar mesej kepadanya seminggu sebelum Ramadan sambil bertanyakan jenis darah pelakon itu, lapor Berita Harian.

“Sukar untuk saya ungkap perasaan ini…bukan perkara main-main. Tawaran yang dibuat membabitkan organ dalaman yang sangat berharga,” kata selebriti itu.

Bagaimanapun, menurut doktor Ebby masih belum memerlukan rawatan hemodialisis atau menggantikan buah pinggang baru.

”Doktor menjelaskan tahap kesihatan saya belum kronik sehingga perlu buah pinggang baru.

Alhamdulillah,” katanya lagi.

Menganggap ia sebagai rezeki, pelakon itu memaklumkan kesihatannya semakin stabil walaupun perlu menjalani rawatan berkala di Hospital Kuala Lumpur (HKL).